Satu ketika dahulu, kampung sering sinonim dengan kuatnya pengaruh agama. Ramai ulama lahir dari kawasan kampung dan pedalaman yang kebiasaannya mempunyai banyak pusat pengajian agama atau pondok. Malah, ada yang membuat perumpamaan, jika disitu ada sawah padi maka disitu ada pondok agama. Masyarakat di kampung juga dikatakan begitu kuat berpegang dengan amalan-amalan agama. Bagi mereka budaya seperti majlis tahlil, marhaban, majlis cukur jambul dan juga kenduri-kendara menjadi medium untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk. Semangat gotong-royong dan tolong-menolong juga cukup kuat menjadi budaya setempat.
Meskipun penduduk kampung rata-rata hanya menjadi petani, pesawah atau penternak, mereka hidup sejahtera dan cukup dengan apa yang ada selain menikmati kehidupan yang damai. Bagaimanapun, merentasi zaman dan masa, proses permodenan akhirnya mengubah landskap kampung. Malah, bagaikan ada satu pertentangan antara proses pemodenan dan mengekalkan tradisi. Generasi baru keluar berhijrah atau proses industri semakin dekat dengan kawasan kampung. Malah, ada kampung berubah wajah menjadi pekan dan bandar.
Dekad demi dekat berlalu, kampung juga berubah. Kemudahan prasarama makin bertambah baik. Sekarang sudah ada air paip dan bekalan elektrik. Berbanding dahulu, hanya ada cahaya pelita dan minum air telaga atau tadah air hujan. Berbanding dahulu, sekarang anak-anak teruja dan gembira apabila berpeluang pulang ke kampung. Ramai yang balik kampung pada hujung minggu untuk menenangkan fikiran selepas penat bekerja.
Namun, permodenan turut merosakkan landskap kampung. Permodenan hadir bersama budaya hedonisme. Ramai anak kampung turut terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah, malah ramai juga yang tercicir pelajaran.
Arus pembangunan juga kadang-kadang merosakkan. Kawasan bendang misalnya kini dicemari dengan racun rumpai. Kawasan hutan banyak digondolkan. Sungai-sungai turut tercemar dengan sampah dan sisa industri. Dahulu kalau di sawah, kita dapat memancing ikan. Kini ikan tidak sempat hidup, banyak mati akibat racun.
Selain proses permodenan, ekstremisme agama turut menjadi unsur pertentangan yang banyak mengubah landskap kampung pada masa ini. Masyarakat kampung memang ternanti-nanti kehadiran ulama untuk menyemarakkan tradisi keagamaan. Namun, perubahan berlaku apabila lulusan agama generasi baharu kini begitu galak mengkritik tradisi dan budaya. Mereka begitu mudah mendakwa pihak lain mengamal bida'ah malah lebih jauh melemparkan tuduhan sesat dan kafir. Mereka keliru antara soal ibadah dengan tradisi dan budaya. Islam yang mereka cuba 'paksakan' ke atas masyarakat seakan-akan Islam yang antibudaya dan tradisi. Islam yang kering dengan budaya setempat akhirnya boleh menyebabkan generasi muda menjauhkan diri. Islam yang dibawa para alim ulama dahulu penuh dengan tasamuh (bertoleransi), beradab, berakhlak tinggi, lemah lembut serta jauh daripada bersikap konfrantasi. kini semuanya sudah tiada lagi. Berbeza dengan seglintir lulusan agama generasi baharu, lebih suka membesar-besarkan soal cabang dan perkara khilaf serta mencemuh budaya. Permodenan dan ekstremisme agama menjadi dua unsur yang membei cabaran kepada kita semua.
Artikal oleh : Helmi Mohd Foad (Pengarang Berita Kosmo) - KOSMO! Rabu 16 Mac 2016
No comments:
Post a Comment