Monday, March 28, 2016

Kami Pemimpin Masjid, Bukan Mualaf

Pada Jumaat lalu, 25 Mac 2016, Sultan Perak dan Jaip mencipta sejarah luar biasa di tanah air. untuk  kali pertamanya dalam sejarah Malaysia, muhajir Cina diberi mandat dan amanah untuk memimpin sebuah Masjid, iaitu Masjid Cina Ipoh walaupun  wujud beberapa Masjid Cina  di negeri-negeri lain, tetapi kesemuanya bukan dipimpin oleh muhajir Cina. Langkah bersejarah ini adalah luarbiasa ke arah anjakan paradigma dari monokultural ke multikultural mindset

1.      Selama ini apabila seorang Cina memeluk Islam, dia dilabel mualaf selama-lamanya seolah-olah muhajir Cina adalah Muslim kelas kedua. Langkah memberi kepimpinan Masjid kepada muhajir Cina membuktikan muhajir Cina mampu berhijrah dari zon mualaf ke arah kepimpinan Islam. 

2.       Muhajir Cina patut mengorak langkah besar dalam mengutamakan tuntutan ilmu agama peringkat tinggi dan ilmu perbandingan agama. Jangan hanya sekadar ilmu asas fardu ain. 

3.       Muhajir Cina mesti meneruskan usaha menjadikan Masjid sebagai magnet multikultural. Pertandingan tanglung patut diadakan besar-besaran pada tahun ini di Masjid. Buat beberapa kategori pertandingan. Adakan kategori membuat tanglung dalam bentuk Masjid pelbagai budaya. 

4.       Bermesra dengan ahli kariah Muslim dan bukan Muslim selalu. Sebuah taman kanak-kanak dan orang tua patut dibuat di sebelah Masjid Cina Ipoh untuk menyemarakkan kemesraan jiran tetangga yang kebanyakannya Cina bukan Muslim. Taman patut menjadi sebahagian daripada Masjid kerana budaya Cina sangat mengutamakan harmoni natural ini. Tai chi boleh diajar setiap subuh di taman. Sesi minum teh Cina didalam Masjid patut kerap diadakan. Membancuh teh cina adalah merupakan satu seni yang sangat halus seolah-olah ia adalah cabang kungfu. Minum teh dalam budaya Cina adalah simbol harmoni dan tafakur di mana rakyat duduk bersama untuk berbincang dan bermesra. Kadang-kadang kita terlalu kiasu mengejar kemewahan material tetapi kita miskin masa. Sesi minum teh cina adalah peringatan bahawa masa dan kesihatan adalah dua kemewahan yang lebih utama. teh cina tidak mempunyai gula. Sangat baik untuk kesihatan. 

5.         Masjid Cina patut melancarkan channel sosial medianya supaya video-video yang dibuat oleh Masjid Cina dipancarkan ke seluruh dunia dengan harapan bahawa Masjid Cina Ipoh menjadi destinasi hamba-hamba ALLAH SWT seluruh dunia apabila mereka melihat keunikan reka bentuk Masjid digabungkan dengan mesej-mesej multikulural dan berinspirasi melalui aktivi-aktiviti Masjid. 

6.        Langkah pertama ialah membersihkan Masjid. Gambaran terhadap tandas Masjid tidak baik seolah-olah Islam hanya agama hudud dan halal haram, bukan agama kebersihan, sedangkan taharah adalah bab pertama dalam kitab-kitab fikah sebelum bab solat. Budaya konservatif selalu fikir masjid sebagai tempat solat tetapi lupa bab pertama fikah iaitu kebersihan dan penyucian rohani dan fizikal. Masjid Cina Ipoh patut menjadikan tandasnya lebih bersih dari Hotel Hilton!. Sebelum ke padang mahsyar, kita akan terima seksaan kubur di alam barzakh dulu kalau kita tidak jaga air  kencing kita. Maknanya jagalah kebersihan tandas. Jangan kedekut dalam memewahkan reka bentuk tandas dan perhiasan. Shoot video tentang tandas masjid dan pancarkan ke seluruh dunia. Kalau malu, ini adalah indikator bahawa tandas Masjid Cina Ipoh belum cukup bersih lagi! kebersihan lima bintang tandas dapat menarik perhatian dunia kerana ini adalah rare species. Insya'allah.

Cetusan : pandanganku Xifu Naser - Penulis ialah Ketua Biro Pendidikan Cina Muslim (Macma) Sinar Harian Selasa 29 Mac 2016

No comments:

Post a Comment