Thursday, March 17, 2016

Kulit Terawat Serlah Penampilan

Secara umumnya, baik wanita atau lelaki harus menjaga kulit mereka daripada berbagai masalah supaya sentiasa ingin tampil awet muda dengan wajah bersih dan berseri.

Tidak perlu berbelanja mahal semata-mata bagi mendapat kulit mulus, cerah, anjal dan tegang kerana pemilihan produk kecantikan yang sesuai dan paling utama, tiada kesan sampingan berbahaya selain kaedah membersih wajah serta kaedah membersih wajah serta merawatnya.

Antaranya, cuci tangan hingga bersih sebelum menyentuh wajah bagi mengelak bakteria atau kotoran yang tidak kelihatan dipindahkan ke kulit wajah. Pembersihan kulit wajah perlu dilakukan pada pagi dan malam setiap hari walaupun anda tidak memakai sebarang alat solek kerana kulit mudah dinodai terutama habuk dan debu persekitaran. Pentingnya membersihkan muka pada waktu pagi kerana kulit mengeluarkan lemak dan kotoran pada malam hari ketika sedang tidur. selain itu, anda juga perlu luangkan waktu untuk mengurut kulit bagi menstimulasikan pertukaran sel pada kulit. Malah melalui urutan lembut selama dua minit pada wajah juga dapat menghilangkan keletihan dan menenangkan kulit. Bagi kebaikan kesihatan kulit, amalkan banyak minum air kosong agar tidak kering dan nampak kusam.

Pemilihan kesesuaian produk penjagaan kulit juga penting kerana ada yang khusus untuk kulit berminyak, kulit kering, sensitif, dan kulit usia matang. Malah anda juga perlu mengubah jenis produk bersesuaian dengan musim, iklim, dan gaya hidup anda. Jika melihat tanda penuaan pada wajah muncul terutama sekitar mata, eloklah mula menggunakan produk perawatan anti penuaan untuk melambatkan proses berkenaan dan hindarilah mandi dengan air panas. Bagi kulit sensitif pula hangatkan dulu produk perawatan di genggaman  tangan sebelum memakainya dan lakukan perawatan kulit tanpa menggosok sebaiknya gunakan kapas muka, kain atau tisu. Bagi kulit usia matang pilih produk perawatan kulit anti penuaan bergantung pada keadaan kulit, keperluan dan musim.

Kawasan leher, mata, dan tangan yang tidak dijaga secara khusus boleh mengurangkan keindahan penampilan, jadi berikan perhatian yang lebih kepada  anggota badan terbabit, Jangan ragu menggunakan produk kecantikan yang bersesuaian terutama produk yang dapat melembutkan permukaan kulit kerana kulit kering akibat terkena sinar matahari secara langsung boleh menyebabkan kedut. Bagi kulit berminyak pula, lindungi ia daripada terkena sinaran matahari secara langsung yang dapat mengumpulkan himpunan lemak di kulit wajah serta jangan memicit jerawat tanpa sebarang rawatan kerana akan meninggalkan kesan parut nyata yang sukar dihilangkan. Ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dan dapatkan bantuan serta nasihat pakar.


Petikan Artikel dari Berita Harian Isnin 7 Disember 2015

No comments:

Post a Comment